Nabi Imran A.S. adalah salah seorang nabi dan juga merupakan bapa kepada
Mariam iaitu ibu Nabi Isa A.S. Nama sebenar Nabi Imran ialah Imran bin
Hasyim bin Amun. Beliau berkahwin dengan Hannah binti Faqud bin Qabil
dan telah dikurniakan oleh Allah seorang anak perempuan bernama Mariam.
Kedua-dua mereka mempunyai darah keturunan Nabi.
Surah Ali Imran
Nabi
Imran dan keluarganya telah dimuliakan oleh Allah S.W.T. seperti mana
yang telah terdapat dalam Al Quran surah Ali Imran ayat 33 yang
bermaksud : "Allah telah memilih Adam, dan Nuh, dan keluarga Ibrahim,
dan keluarga Imran, di atas semua alam".
Kehidupan keluarga Imran
sederhana. Mereka tinggal di perkampungan Nazareth, Palestin. Kegiatan
ekonomi penduduk di perkampungan itu lebih tertumpu kepada kegiatan
pertanian yang pernah dilakukan oleh nenek moyang mereka. Kebanyakan
daripada mereka menjalankan kegiatan pertukangan kayu. Mereka mengutip
hasil kayu dari hutan dan kemudiannya menjual kayu tersebut kepada
pelanggan yang mahu membelinya. Ada juga di antara mereka yang mahir
membuat kasut dan mengeringkan buah tin sebagai pekerjaan mereka. Nabi
Imran A.S. menyimpan hasrat untuk tinggal di Jerusalem. Beliau ingin
berkhidmat di Baitulmuqaddis. Beliau pernah bermimpi menjadi siak di
tempat suci di Baitulmuqaddis dan bermimpi menjaga kebersihan dan
membantu kerja-kerja menjaga tempat suci itu.
Isteri Nabi Imran
A.S. telah bernazar kepada Allah S.W.T. agar Allah S.W.T. menerima
anaknya Mariam untuk menjadi ahli Ibadat kepadaNya seperti mana yang
terdapat dalam surah Ali Imran ayat 35 yang bermaksud : (Ingatlah)
ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan
kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas
(dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka
terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui."
Demikianlah kisah mengenai Nabi Imran.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar